10 Tahun No Man's Sky: Puluhan Juta Pemain Meneroka Tapi Baru 1% Alam Semesta Berjaya Ditemui

Bayangkan kau melangkah masuk ke dalam sebuah perpustakaan gergasi yang tiada penghujung. Kau capai sebuah buku, buka muka surat pertama, baca beberapa baris, lalu beredar.

Bila dihitung semula, hanya sehelai muka surat itu sahaja yang pernah disentuh manusia daripada jutaan rak buku yang tersusun di situ.

Itulah perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan skala No Man's Sky hari ini, genap sedekad selepas ia mula dilancarkan.

Menerusi surat terbuka sempena ulang tahun ke-10 pada Ogos 2026, pengasas Hello Games, Sean Murray, mendedahkan satu statistik yang sukar dihadam akal: selepas diharungi puluhan juta pemain dengan ratusan juta jam penerokaan secara kolektif, komuniti global baru sahaja meneroka kurang daripada satu peratus daripada 18 kuintilion (18,446,744,073,709,551,616) planet yang wujud dalam algoritmanya.

Satu peratus dalam masa sepuluh tahun.

Mengikut perkiraan matematik Hello Games, seorang pemain memerlukan masa sekitar 585 bilion tahun jika mahu menjejakkan kaki ke setiap planet selama satu saat sahaja. Ini bukan gimik pemasaran. Ini realiti sains data prosedural.

Mengimbau Tragedi 2016

Bagi menghargai pencapaian ini, kita perlu kembali melihat titik terendah studio ini sedekad lalu.

Sewaktu dilancarkan pada 9 Ogos 2016, No Man's Sky menjadi mangsa kepada janji manis pemasarannya sendiri. Skor cadangan pengkritik di OpenCritic menjunam ke paras 37 peratus. Game yang digembar-gemburkan bakal merevolusikan industri dengan mekanik multipemain yang lancar dan ekosistem hidupan asing yang kompleks, telah tiba di tangan pemain dalam keadaan kosong dan hambar.

Gelombang kemarahan meletus di seluruh dunia. Permintaan refund mencatat rekod, manakala Sean Murray dihujani kecaman serta ugutan bunuh.

Ketika itu, Hello Games hanyalah sebuah studio indie kerdil dengan empat pembangun teras yang cuba membina impian di luar batas kemampuan mereka. Ramai meramalkan studio ini akan gulung tikar dalam masa beberapa bulan.

Namun, sejarah membuktikan sebaliknya.

40 Kemas Kini Utama: Semuanya Percuma

Di saat syarikat korporat lain mungkin memilih untuk menutup studio atau mengenakan caj tambahan, Hello Games mengambil pendekatan yang sangat jarang berlaku dalam industri moden: tutup mulut, duduk di meja kerja, dan baiki segalanya.

Sepanjang 10 tahun, Hello Games telah melepaskan lebih 40 updates berskala mega dan setiap satunya diberikan secara percuma kepada sesiapa yang memiliki salinan asal game tersebut.

Tiada season pass. Tiada sekatan kandungan berbayar (DLC paywall).

Sepanjang tahun 2026 sahaja, mereka menyuntik pelbagai mekanik baharu termasuk gravity gun, sistem pertarungan hidupan asing, dan misi serbuan berpasukan. Dari sebuah ruang angkasa yang sunyi pada 2016, game ini berevolusi menjadi sebuah alam maya yang sarat dengan sokongan realiti maya (VR), pembinaan pangkalan kompleks, armada kapal hidup, mekanik memancing, dan mod multipemain penuh.

Rekod Komuniti dan Bayangan Kemas Kini "COSMOS"

Menariknya, Sean Murray mengesahkan bahawa tahun 2026 mencatatkan jumlah pemain aktif harian tertinggi sejak hari pertama pelancaran. Satu anomali luar biasa bagi sebuah game berusia 10 tahun.

Sambutan ulang tahun sedekad ini turut diraikan secara organik oleh komuniti pemain (Travellers). Tanpa sebarang penganjuran rasmi daripada pihak studio, ribuan pemain menggerakkan inisiatif akar umbi untuk log masuk serentak bagi memecahkan rekod pemain serentak (concurrent players).

Bagi hala tuju seterusnya, Murray mengumumkan judul kemas kini besar berikutnya yang dinamakan COSMOS. Walaupun perincian penuh masih dirahsiakan dan dijangka tiba selepas 2026, satu perkara kekal pasti, ia akan terus diedarkan secara percuma.

"Aku Sedia Bangunkan Game Ini Selamanya"

Dalam wawancara bersama GamesRadar, Murray berkongsi luahan jujur mengenai komitmen jangka panjang studionya.

Selagi komuniti terus bermain, aku sedia bekerja untuk game ini sampai bila-bila.

Mungkin satu hari nanti perjalanan No Man's Sky akan sampai ke garisan penamat, tetapi jika kau tanya aku lima tahun lepas, aku sangka kita sudah melepasi tarikh itu dan sokongan komuniti terus mengejutkan kami.

Malah, Hello Games kini sedang giat membangunkan projek kedua mereka, Light No Fire, sebuah game pengembaraan dunia terbuka berlatarbelakangkan alam fantasi berskala bumi sebenar yang diumumkan pada penghujung 2023.

Pandangan ZJ Pixel

Aku antara gamer yang mengecam teruk No Man's Sky sewaktu ia mula keluar pada 2016.

Bukan sebab dendam peribadi, tapi rasa tertipu bila janji treler acah langsung tak sama dengan produk akhir yang kita bayar. Kekecewaan waktu itu memang nyata dan beralasan.

Namun, apa yang dilakukan oleh Hello Games sepanjang 10 tahun ini meletakkan satu penanda aras integriti yang paling sukar ditandingi oleh mana-mana gergasi AAA sekalipun. Mereka tak salahkan pemain, tak cipta alasan PR, dan tak lari tinggalkan projek. Mereka tebus kesilapan itu dengan kerja keras yang konsisten selama sedekad.

Bila kita tahu baru satu peratus alam semesta diteroka selepas 10 tahun, ia bukan sekadar angka statistik. Ia bukti betapa megahnya sebuah karya yang dimulakan oleh empat orang pembangun dari sebuah bilik kecil dan mereka masih belum berniat untuk berhenti.
🌙